5langkah

Apabila ada matlamat simpanan yang jelas, secara tidak langsung kita akan mula menyimpan duit secara serius. Lain pula ceritanya jika hanya menyimpan dalam bank tanpa sebarang matlamat. Potensi duit itu untuk cepat lesap amatlah tinggi. Tapi tak apa, kita boleh tangani masalah ni dengan ilmu yang betul. Bagi yang baru nak mula menyimpan, baca perkongsian daripada Miriam Caldwell ini tentang cara uruskan dan capai matlamat simpanan dengan mudah.

Langkah 1: Apa tujuan utama anda simpan duit?

Sebelum melakukan apa-apa, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah mengenal pasti dahulu apakah tujuan utama. Sama juga halnya dengan menyimpan duit.

Apakah tujuan simpanan anda ? Adakah untuk:

 

i) Bayar duit downpayment rumah idaman anda?

ii) Tanggung percutian impian anda ke negara orang selama beberapa bulan?

iii) Kumpul duit pendahuluan untuk beli kereta?

iv) Sediakan duit persaraan yang cukup untuk hari tua nanti?

v) Simpan duit sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan (emergency fund)?

 

Apabila anda sudah ada jawapan untuk soalan ini, teruskan dengan mengenal pasti berapa banyak jumlah simpanan yang anda ingin capai.

 

Sebagai contoh:

Matlamat: Simpanan untuk bayar duit deposit rumah.

Matlamat simpanan: RM45,000.

Dah tetapkan jumlah simpanan yang anda ingin capai? Jom baca langkah seterusnya.

 

Langkah 2: Mula merangka garis waktu (timeline) untuk capai matlamat anda

Ada sesetengah timeline yang hanya memakan jangka waktu yang pendek. Contohnya, katakan anda merancang ingin bercuti ke Eropah pada tahun depan.

Bermakna, anda sudah tahu yang simpanan perlu dibuat dalam tempoh masa 1 tahun. Selama tempoh ini, anda perlu usaha menyimpan. Jika tidak, akan ada potensi yang percutian ini menjadi sekadar mimpi indah saja.

Sama juga jika anda rancang untuk menyediakan duit downpayment rumah.

Sebagai contoh, anda tetapkan matlamat ini dapat dicapai dalam jangka masa 2 tahun. Jadi, anda perlu fokus mengumpul duit yang cukup dalam tempoh masa ini.

Ada juga matlamat yang memerlukan garis masa yang agak panjang.

Contohnya, anda boleh tetapkan matlamat untuk mencapai simpanan sebanyak RM100,000 untuk duit persaraan, sebelum berumur 30 tahun.

Garis waktu ini membantu anda buatkan matlamat anda lebih jelas. Bila dah jelas, senang untuk anda capai dalam tempoh masa yang anda dah tetapkan.

 

Langkah 3: Berapa banyak nak simpan setiap bulan?

Dalam usaha untuk mencapai matlamat simpanan yang anda dah tetapkan, anda juga perlu menentukan berapa banyak yang perlu anda simpan setiap bulan.

Anda boleh tentukan perkara ini dengan mengambil matlamat simpanan, dan bahagikan dengan 12 bulan (untuk tempoh 1 tahun. Kalau matlamat kita memakan masa 2 tahun, bahagikan dengan 24 bulan, dan seterusnya).

 

Sebagai  contoh supaya anda lebih mudah faham:

Matlamat: Ingin bercuti ke Eropah selama 2 minggu pada bulan Mac tahun depan.

Matlamat simpanan: RM10,000.

Cara kira: RM10,000 / 12 bulan = RM833.33 sebulan.

Bermakna, anda perlu simpan RM833.33 sebulan selama 12 bulan. Berikan sepenuh komitmen dalam menyimpan jumlah ini setiap bulan.

 

Langkah 4: Periksa semula bajet anda

Sebelum memulakan simpanan, periksa dulu samada anda ada bajet yang cukup untuk buat perkara ini atau tak. Jika bajet bulanan tak cukup, mungkin anda boleh panjangkan sedikit garis masa yang anda tetapkan itu.

Yang penting, pastikan tempoh ini realistik untuk anda capai. Tak logik pula nak kumpul simpanan RM1 juta dalam masa 1 tahun kan? (sebenarnya boleh je kita buat).

Kalau bajet sedia ada tak cukup, cari jalan untuk tambah pendapatan sampingan. Lagi banyak anda boleh simpan, lagi cepat boleh mencapai matlamat anda.

Boleh buat simpanan secara automatik. Dapat saja gaji, sebahagian gaji akan terus masuk ke dalam akaun simpanan. Lebih mudah dan efisyen berbanding asingkan duit secara manual.

Ini bagus untuk kita buat kerana ia boleh mengelakkan kita terbelanja duit itu pada perkara lain.

 

Langkah 5: Buat akaun simpanan khas

Untuk setiap matlamat yang anda dah tetapkan, buat satu akaun bank khas untuk setiap satu. Duit yang kita dapat tiap bulan, masukkan dalam akaun ni.

Jumlah akaun bergantung kepada berapa banyak matlamat yang anda dah tetapkan.

Dan ingat ya. Paksa diri anda menyimpan, jika tak mahu matlamat anda itu menjadi sekadar angan-angan. Jika terlepas masukkan jumlah sebulan, cari jalan untuk gantikan pada bulan depan.

Jika ingin membuat simpanan jangka masa panjang (lebih 5 tahun), boleh juga melabur dalam Unit Trust. Jika tidak, cari simpanan tetap (fixed deposit) yang bagi kadar faedah yang tinggi. Sekurang-kurangnya, duit itu boleh berkembang.

Kredit: Miriam Caldwell, gilahartanah.com