KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menolak sebarang permohonan pemaju iaitu Peta­ling Tin Berhad untuk membangunkan kawasan perumahan baharu di Taman Kelab Ukay, Ampang.
.
Yang Dipertua MPAJ, Abd. Hamid Hussain berkata, tindakan itu diambil berikutan pemaju gagal memberi hak milik kediaman ke atas 447 pemilik perumahan berdasarkan pembangunan lama di kawasan tersebut.
.
“Ada sebahagian lagi tanah pemaju yang sama di kawasan tersebut dan mereka pernah memohon kepada MPAJ untuk membangunkan kawasan itu tetapi ditolak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
.
Beliau mengulas mengenai isu pemaju tidak menjelaskan bayaran premium sebanyak RM11.5 juta kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor sehingga menyebabkan penduduk gagal mendapatkan hak milik kediaman meskipun 33 tahun menanti.
.
Mengulas lanjut Abd. Hamid berkata, MPAJ bertindak melakukan pecah sempadan dan tugasan ukuran pelan seperti dikemukakan pemaju.
.
“MPAJ juga me­nerima desakan penduduk dalam beberapa siri pertemuan sebelum ini dengan meminta supaya memberi tekanan kepada pemaju bagi merungkai permasalahan berkenaan.
.
“Buat masa ini tidak ada sebarang pertemuan diadakan bersama pemaju, namun keputusan mengenainya telah dibuat.
.
“Urusan bayaran premium itu adalah urusan pemaju de­ngan pejabat tanah dan galian,” katanya.

Sumber: www.utusan.com.my