Lokasi

Lokasi akan menentukan harga, risiko dan pulangan. Antara kawasan strategik bagi pelaburan hartanah adalah di kawasan yang berdekatan dengan kawasan industri serta kawasan yang mempunyai institusi pengajian tinggi seperti universiti atau kolej universiti. Sebuah rumah kos sederhana atau murah akan lebih menjadi rebutan berbanding rumah kos tinggi, kerana semestinya individu yang ingin menyewa rumah terbabit juga mahu menyimpan sedikit untuk masa depan mereka.

Falsafah Pemaju

Adakah pemaju mempunyai rekod dalam menghasilkan produk berkualiti ? Jika mereka sedang menjalankan projek baru dan anda berminat dengan projek tersebut, lakukan sedikit kerja kajian mengenai projek-projek mereka yang lalu. Jangan terpengaruh dengan nama besar. Kerap kali terjadi projek besar dengan nama syarikat yang besar menghasilkan produk yang boleh dikategorikan sebagai projek kangkung. Jadi kata kunci di sini adalah: lakukan sedikit kajian. Cari pemaju yang berkaliber dan menepati masa dalam menyiapkan projek.

Pengurusan

Apa tahap pengawasan yang akan disediakan oleh pihak pengurusan pembangunan? Jika rumah yang anda beli merupakan rumah kondominium, atau di apartment, adakah pihak pemaju sentiasa mengawal selia kawasan terbabit. Sebelum anda beli, tanya atau dapatkan sedikit maklumat berkaitan rumah tersebut dengan jiran tetangga (jika hartanah tersebut telah lama dibina).

Prospek Masa Depan

Jika anda mendapatkan hartanah sebagai pelaburan untuk masa depan, sekurang-kurangnya anda perlu tahu berapakah jumlah keuntungan yang boleh diberikan oleh hartanah ini kepada anda dalam tempoh tertentu. Jadi, anda perlu selalu membuat kajian tentang kadar sewaan yang menguntungkan, setidak-tidaknya mampu untuk dibuat bayaran balik bagi kos beli dan selenggara hartanah terbabit.

Praktikaliti, Rekaan serta Kegunaan

Ada pemaju yang mendirikan kediaman mewah, tetapi kediaman tersebut tidak mampu untuk menampung keperluan keluarga yang mempunyai ramai ahli, sebagai contoh ibu bapa dengan 5 orang anak kecil. Mereka kaya, manakal rumah tersebut juga berstatus mewah. Namun, atas dasar rumah yang ditawarkan itu tidak praktikal bagi keluarga mereka yang ramai, mereka tidak jadi untuk mendapatkan rumah terbabit. Jadi, selain daripada rekaan yang bagus, hartanah yang anda inginkan perlulah mempunyai praktikaliti serta kegunaannya yang tersendiri.

Perbandingan harga produk setanding

Jika anda mampu, cuba buat perbandingan untuk hartanah di kawasan tersebut pada masa lalu dari segi harga per meter persegi dan apresiasi modal. Dari sini, anda akan tahu adakah pelaburan hartanah yang anda lakukan berbaloi atau tidak.

Perhubungan serta Keselesaan

Hartanah yang mempunyai nilai yang tinggi adalah yang berada di kawasan kejiranan, mempunyai akses terhadap sekolah, mempunyai kompleks beli belah ataupun kedai-kedai yang menjual keperluan harian, berdekatan dengan tempat kerja serta dekat dengan tempat rekreasi. Namun, sekiranya kemudahan-kemudahan ini tidak dapat dihubungkan dengan baik menerusi sistem pengangkutan yang menyeluruh, kawasan tersebut boleh dikatakan kurang kualiti untuk pelaburan hartanah. Satu kajian di Singapura menunjukkan bahawa hartanah yang terletak berdekatan dengan stesen LRT (Light Rapid Transit) mempunyai pasaran serta harga yang tinggi. Jadi, jangan abaikan aspek pengangkutan dan perhubungan jika anda mahukan pulangan pelaburan hartanah yang baik.

Keselamatan

Jika anda mahu terlibat dalam pelaburan hartanah yang berbaloi, cari kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang rendah. Kadar janayah yang rendah dapat menimbulkan keselesaan serta ketenangan di kalangan penghuninya. Seterusnya meningkat nilai kawasan terbabit untuk pelaburan hartanah.